Popular Posts
-
KUALA LUMPUR: Berikut adalah intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transfor...
-
POKOK SENA – Maahad Tarbiah Islamiah Derang menarik nafas lega apabila terpilih untuk progam menambah baik sistem pendawaian elektrik d...
-
Financial Times dan Reuters membawa berita baik untuk rakyat Malaysia iaitu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib, telah menyatakan keyakinan...
-
Puchong, 18 September 2015 – Komuniti Sukarelawan Belia MyVOC, Majlis Belia Malaysia telah mengedarkan sebanyak 1000 keping topeng muka...
Sunday, 24 February 2013
Harakah Di Haram Sebut Anwar Sebagai Bakal PM
Pada 10 Februari 2013 lepas, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan isu siapa yang layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri selain daripada Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan spekulasi yang mengatakan Majlis Syura Ulama PAS telah menolak idea untuk menobatkan Ketua Umum PKR sebagai PM sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU 13 hanyalah dakwaan mengarut ciptaan UMNO.
Penegasan oleh Nik Aziz itu tentunya melegakan Anwar dan pemimpin PKR serta DAP yang lain, sedikit sebanyak ia juga dapat mengendurkan perasaan gundah di kalangan penyokong PR yang kembali diselubungi misteri sama ada Anwar masih kekal sebagai calon utama PR sebagai PM atau sebaliknya.
Namun perkembangan akhir-akhir ini kelihatannya seperti mengiakan spekulasi sebelum ini apabila suara-suara penolakan terhadap Anwar semakin hari semakin kuat kedengaran, dan ditimbulkan sendiri oleh beberapa pemimpin utama PAS yang tidak termasuk dalam golongan Anwarinas.
Manakala maklumat terbaru yang diperolehi menyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah pun mengeluarkan arahan mengharamkan semua media milik PAS termasuklah akhbar Harakah dan portal onlinenya daripada menyebut atau menulis ayat yang membawa maksud Anwar adalah bakal PM.
Arahan pengharaman tersebut khabarnya sudah sampai ke pengetahuan Anwar menyebabkan Ketua Umum PKR itu menghamburkan kemarahannya semasa mesyuarat parti beberapa hari lepas.
Bukan satu rahsia pun, sebahagian besar penulis dan barisan pentadbiran dalam Harakah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, jadi tidaklah pelik bagaimana arahan sulit sedemikian mudah sampai ke pengetahuan Anwar.
Tambah membara kemarahan Anwar lebih-lebih lagi arahan tersebut seperti mengesahkan lagi ura-ura PAS tika ini yang sedang berusaha menjarakkan diri dari PKR, satu tindakan yang dikira oleh Anwar sebagai satu pengkhianatan terhadap dirinya dan PR.
Bagi khalayak yang rapat dengan Hadi, arahan sedemikian bukannya sesuatu yang menghairankan sementelah lagi sejak di zaman ABIM lagi Presiden PAS itu agak kurang berkenan dengan pembawaan Anwar yang mementingkan diri dan tidak serasi sebagai pejuang gerakan Islam.
Malah ketika bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadhil Noor memulakan usaha menjalinkan hubungan kerjasama dengan Anwar melalui penubuhan GERAK diikuti dengan Barisan Alternatif (BA) dulu pun, Hadi sudah beberapa kali menyuarakan keraguannya terhadap kejujuran Anwar.
Selepas itu Hadi terpaksa memendamkan keraguannya sebagai menghormati teguran Allahyarham, bagaimana pun setelah selesai PRU 12 2008, tanpa menoleh ke belakang segera diaturkan perjumpaan dengan UMNO dalam usahanya untuk menjayakan kerjasama Kerajaan Perpaduan (UG).
Sekalipun usaha itu mendapat mandat penuh dari Majlis Syura Ulama PAS, akan tetapi beberapa ketika kemudiannya menemui jalan buntu berikutan campurtangan PKR dan DAP serta tekanan yang datangnya dari pemimpin-pemimpin pro Anwar dalam PAS.
Kini Hadi mengorak langkah lagi, sama ada ia memberi manfaat kepada PAS atau sebaliknya sukar ditentukan lebih-lebih lagi di saat sebahagian besar kepimpinan PAS tika ini berkiblatkan ideologi Anwarinas.
Persoalannya sekarang, selama mana media-media PAS seperti Harakah dan HarakahDaily serta lain-lain medium maya yang pro PAS mampu mengikuti arahan pengharaman tersebut? Adakah Anwar dan lain-lain pemimpin PR termasuklah golongan Anwarinas dalam PAS akan berdiam diri?
Jawapan kepada persoalan itu bergantung kepada tindakbalas Anwar dan pengikutnya terutama sekali selepas Parlimen dibubarkan diikuti dengan proses pencalonan nama bagi PRU 13 selesai dilaksanakan.
Tunggu dan lihat, gerakan siapa yang lebih ke depan tika itu. Tapi tak mustahil, belum pun Parlimen dibubarkan, gabungan PR yang membabitkan kerjasama longgar antara PKR, DAP dan PAS pula yang dibubarkan terlebih dahulu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
GP aka Hantu Tak Berprotokol tidak akan sama sekali bertanggungjawap terhadap komen2 yg menyalahi undang2 negara...